Dalam dunia ini kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri. Tetapi dalam kita bersendirian, kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat atau besfren (teman rapat) yang memahami kita.
Sebagaimana kita mengharapkan keiklasan dan kejujuran seorang sahabat, begitulah juga dia. Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita.
Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerangkan keadaannya. Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.
Kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti kerana kita juga ada janji yg tidak ditepati. Kita beri beribu alasan memaksa dia terima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita perasaannya? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa. Tetapi kita sering terlupa.
Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa memahami, yang selalu berada disisi pada waktu kita memerlukannya. Dia mendengar luahan perasaan kita,segala rasa kecewa dan ketakutan. Harapan dan impian juga kita luahkan. Dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Selalunya kita terlalu asyik menceritakan tentang diri kita hingga Kadang-kadang kita terlupa sahabat kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita.
Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya,rasa takutnya?
Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita. Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya sepertimana dia meniup semangat setiap kali kita rasa kecewa dan menyerah kalah?
Dapatkah kita yakinkan dia yang kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah.? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia bersandar harapan? Sesekali jadilah sahabat yang mendengar dari yang hanya bercerita.
Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat kerana dia juga seorang manusia. Dia juga ada rasa takut, ada rasa bimbang,sedih dan kecewa. Dia juga ada kelemahan dan memerlukan seorang sahabat sebagai kekuatan. Jadilah kita sahabatnya itu.
Kita selalu melihat dia ketawa,tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangkakan. Di sebalik senyumannya mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan. Di sebalik kesenangannya mungkin tersimpan seribu kekalutan. Kita tidak tahu.
Tetapi jika kita cuba jadi sahabat sepertinya, mungkin kita akan tahu.
RENUNGILAH.. .
"HARGAILAH SEBUAH PERSAHABATAN KERANA DISEBALIKNYA TERSIMPUL SEGALA-GALANYA."
- Satu-satunya cara agar kita memperolehi kasih sayang, ialah jangan menuntut agar kita dicintai, tetapi mulailah memberi kasih sayang kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan. (Dale Carnagie)
- Orang yang menunjukkan kebaikan kepada anda adalah sahabat yang baik. Dan orang yang menunjukkan kesalahan anda adalah sahabat yang paling baik. (Hukamak).
- Jika anda cuba untuk merapatkan dengan lebih lagi persahabatan anda dengannya, dia akan membalas dengan baik persahabatan anda itu. Itu bermakna dia memang mahu bersahabat dengan anda. Dia amat menghargai anda kerana mahu bersahabat dengannya. Dia adalah sahabat sejati anda.
- Jika anda memerlukan pertolongan daripada sahabat anda berupa wang ringgit ataupun dalam bentuk tenaga, maka akan dia akan cuba sedaya upaya membantu anda. Sahabat yang baik tidak akan menghampakan anda sekiranya anda meminta pertolongan dari mereka. Malah sahabat yang baik juga tidak sanggup melihat anda berada didalam kesusahan. Jika anda meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.
- Jika anda menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerimanya dengan baik. Itu tandanya dia menghargai kebaikan yang telah anda hulurkan padanya. Dia juga tidak akan sekali-kali melupakan kebaikan yang telah anda lakukan itu. Malah dia akan membalasnya dengan kebaikan juga kepada anda.
- Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada anda, dia akan segera menutupnya. Sahabat yang baik akan sentiasa menjaga maruah anda tidak kira apa yang berlaku. Dia tidak akan sekali-kali membuka aib anda kepada orang lain. Sahabat anda yang baik akan sentiasa melindungi anda daripada perkara-perkara yang tidak baik.
- Jika anda berdiam diri kerana malu hendak meminta pertolongan, dia akan menanyakan kesusahan anda itu. Sahabat yang baik akan dapat memahami kesulitan yang anda alami. Dia tidak akan mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan masalah yang anda hadapi. Apabila anda berdiam diri maka sahabat anda pastinya akan mengetahui yang anda berada dalam kesusahan.
- Jika anda berkata-kata seuatu kepadanya, nescaya dia akan membenarkan percakapan anda itu. Dia tidak akan sekali-kali menidakkan kata-kata anda itu melainkan kata-kata anda itu adalah dusta. Apabila anda memberi sesuatu pendapat maka dia akan sentiasa membenarkannya dan menyokong anda.
- Jika datang sesuatu bencana menimpa diri anda , dia akan cuba sedaya upaya untuk meringankan beban kesusahan anda itu. Dia akan sentiasa bersama anda dengan memberi pertolongan dan semangat supaya dapat terus tabah menghadapi ujian itu. Anda tidak akan merasai keseorangan jika mempunyai sahabat yang baik seperti ini.
- Jika anda merancangkan untuk melakukan sesuatu perkara, nescaya dia akan membantu anda. Dia akan sedaya upaya membantu anda supaya anda berjaya mencapai perkara yang anda ingin lakukan itu. Dengan bantuan dari sahabat anda itu anda akan dapat terus cekal dalam menjayakan rancangan anda itu.
- Jika anda berselisih faham dengan sahabat anda, nescaya dia lebih senang untuk mengalah demi menjaga kepentingan persahabatan. Dia tidak mahu bersikap mementingkan diri dengan tidak mahu bertolak ansur. Dia tahu sekiranya dia tidak mengalah maka hubungan persahabatan anda akan menjadi lebih buruk lagi.

No comments:
Post a Comment